SAR pendaki wanita hilang tertumpu di Gunung Rayu – JBPM

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih sejak 24 Mei lalu kini ditumpukan di kawasan Gunung Rayu dan Kem Sukaneka.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan rakaman daripada sebuah lagi kamera yang terletak kira-kira satu kilometer di belakang Gunung Rayu bagi membantu mengenal pasti kemungkinan laluan yang digunakan mangsa.

“Kita sudah memperoleh rakaman daripada kamera yang dipasang di Bukit Berapit dan hasil semakan mendapati mangsa tidak melalui laluan itu.

“Pada masa sama, kita sedang berusaha mendapatkan satu lagi rakaman kamera yang terletak kira-kira satu kilometer di belakang Gunung Rayu.

“Sekiranya mangsa melalui kawasan itu, rakaman berkenaan mungkin dapat membantu mengesahkan pergerakannya.

“Bagaimanapun, jika tiada kelibat mangsa dirakam kamera itu, ia tidak semestinya menunjukkan beliau tidak berada di kawasan berkenaan kerana terdapat kemungkinan mangsa menggunakan laluan lain,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Kuala Woh, Tapah hari ini, lapor Buletin TV3.

Sabarodzi berkata, sebanyak 21 anggota masih berada di kawasan operasi dan sebahagian daripada mereka dijadual keluar melalui laluan darat hari ini.

Katanya, 10 anggota lagi akan terus bermalam di kawasan pencarian sebelum keluar esok, membabitkan enam anggota bomba serta empat anggota pasukan malim gunung dan Jabatan Perhutanan.

Tambah beliau, pasukan SAR turut menemukan najis haiwan liar di beberapa lokasi sepanjang operasi pencarian dijalankan.

Sementara itu, Sabarodzi berkata, operasi SAR akan diteruskan sementara menunggu perkembangan terkini hasil mesyuarat penyelarasan yang dijadualkan berlangsung pada Rabu ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti perkembangan semasa operasi berdasarkan hasil mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Batang Padang itu.

“Operasi SAR ini akan kita lihat perkembangan semasanya berdasarkan mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan Pegawai Daerah Batang Padang di IPD Tapah pada hari Rabu ini.

“Insya-Allah, kita akan memaklumkan dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan mesyuarat tersebut,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img