Peluru berpandu antikapal: Norway mohon maaf kepada Malaysia

NORWAY sudah memohon maaf atas pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu antikapal (NSM) namun mempertahankan keputusan yang sudah dibuat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, permohonan maaf itu disampaikan dalam pertemuan dua hala dengan Menteri Pertahanan Norway, Tore O Sandvik di luar sesi rasmi Dialog Shangri-La Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) di Singapura.

“Saya telah bertemu rakan sejawat saya dari Norway dan beliau telah menyampaikan permohonan maafnya, tetapi turut menjelaskan asas pembatalan tersebut,” katanya.

Pembatalan lesen eksport sebelum ini telah mendapat bantahan keras daripada Malaysia, dengan sistem peluru berpandu itu diperuntukkan untuk program Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pada 14 Mei lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor menyampaikan bantahan keras kepada rakan sejawatnya dari Norway, Jonas Gahr Store, atas tindakan mengejut negara itu menyekat lesen eksport NSM kepada Malaysia.

Dalam perbualan telefon, Anwar menegaskan bahawa Malaysia telah memenuhi setiap tuntutan kontrak dimeterai sejak 2018, tanpa sebarang kesangsian.

Beliau menegaskan bahawa langkah Norway itu akan memberi kesan serius terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan Malaysia dan program pemodenan LCS selain pasti membawa implikasi lebih luas terhadap keseimbangan strategik serantau.

“Saya sudah menyampaikan bantahan keras Malaysia dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Norway berhubung keputusan sepihak Norway dan tidak dapat diterima untuk membatalkan lesen eksport bagi sistem NSM serta sistem pelancar berkaitannya, kononnya atas alasan melindungi keselamatan Norway.

“Malaysia sudah memenuhi setiap obligasi di bawah kontrak ini sejak 2018 dengan penuh teliti, setia dan tanpa sebarang keraguan. Namun, Norway nampaknya tidak rasakan perlu untuk membalas dengan penghormatan dan iktikad baik yang sama.

“Kontrak yang dimeterai adalah dokumen yang sah dan mengikat. Ia bukan sekadar cebisan kertas yang boleh diperlakukan sesuka hati.

“Jika pembekal pertahanan Eropah berasakan mereka berhak mungkir daripada perjanjian tanpa sebarang akibat, maka nilai mereka sebagai rakan strategik akan lenyap sama sekali,” katanya dalam kenyataan di Facebook baru-baru ini.

Kementerian Luar Norway dilaporkan menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan eksport negara itu.

NSM, peluru berpandu antikapal berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan capaian melebihi 300 kilometer, adalah sebahagian daripada kontrak perolehan yang dimeterai antara TLDM dengan Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) pada April 2018, bernilai 124 juta euro ($184.91 juta), bertujuan melengkapi enam kapal LCS baharu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img