Isu NSM: Malaysia cari pengganti, tuntut pampasan daripada Norway

MALAYSIA akan menuntut pampasan sewajarnya daripada kerajaan Norway atas kerugian membabitkan perolehan sistem peluru berpandu antikapal (NSM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, langkah ke hadapan sudah dilaksanakan bagi mencari pengganti namun syarikat terbabit perlu bertanggungjawab selepas melanggar syarat kontrak.

“Malaysia sedang bergerak ke hadapan. Malah, Malaysia sedang giat meneroka alternatif bagi memenuhi keperluan pertahanan negara. Namun, bergerak ke hadapan tidak bermaksud melupakan atau menerima sesuatu tanpa akauntabiliti.

“Malaysia mempunyai hak untuk menuntut pampasan yang sewajarnya daripada Norway dan syarikat yang terlibat. Sejumlah besar wang rakyat diperuntukkan bagi program (perolehan) ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang memetik seorang penganalisis pertahanan menggesa Malaysia melupakan perjanjian NSM berkenaan dan mencari pengganti.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pihaknya boleh membuat perancangan lebih baik sekiranya kerajaan Norway memaklumkan pembatalan lesen eksport dengan lebih awal berikutan ia membabitkan dana yang besar.

Katanya, tindakan kerajaan Norway bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan kepada negara malah membuang masa yang amat bernilai dari aspek pertahanan.

“Perlu difahami bahawa mencari pengganti kepada sistem NSM bukanlah sesuatu yang mudah. Sistem secanggih ini tidak boleh digantikan begitu sahaja dalam tempoh yang singkat.

“Mengenal pasti alternatif yang sesuai, merundingkan kontrak baharu serta mengintegrasikan sistem pengganti ke dalam platform sedia ada memerlukan masa dan sumber yang besar,” katanya.

Menurut beliau, perkara ini mendatangkan pelbagai bentuk implikasi yang memberi kesan dari pelbagai aspek melangkaui kerugian dari sudut kewangan semata-mata.

Justeru katanya, pihak terbabit perlu dipertanggungjawabkan supaya perkara yang menimpa Malaysia tidak menjadi duluan kepada negara lain yang mungkin menerima nasib di masa hadapan.

“Mesej yang jelas perlu disampaikan kepada Norway dan komuniti pertahanan antarabangsa bahawa tindakan seperti ini tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa pertanggungjawaban.

“Sekiranya pelanggaran komitmen pertahanan tidak membawa sebarang kesan yang bermakna, perkara yang sama akan berulang pada masa hadapan,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img