Konflik Asia Barat: `Walaupun belum rasa, ini sebenarnya krisis’ – SEAFIC

WALAUPUN konflik di Asia Barat masih kelihatan jauh daripada kehidupan harian rakyat Malaysia, kesannya terhadap ekonomi negara sebenarnya sudah mula bergerak, cuma belum dirasai sepenuhnya pengguna.

Penyelidik kanan Southeast Asian Futures Initiative Centre (SEAFIC), Dr Mikhail Rosli berkata, rakyat mungkin belum merasakan tekanan sebenar kerana kerajaan masih menyerap sebahagian besar kejutan harga menerusi subsidi dan mekanisme intervensi.

“Walaupun kita tak rasa benda ini krisis, tapi sebenarnya ini krisis,” katanya dalam taklimat media baru-baru ini.

Menurut beliau, konflik melibatkan Selat Hormuz bukan sekadar isu geopolitik luar negara, sebaliknya mempunyai implikasi langsung terhadap rantaian bekalan produk penting termasuk minyak, gas memasak, baja dan bahan petrokimia yang digunakan dalam ekonomi Malaysia.

Tambah beliau, impak gangguan itu tidak semestinya muncul dalam bentuk kekurangan bekalan secara mendadak, tetapi boleh berlaku secara lebih perlahan menerusi peningkatan kos, tekanan terhadap pengeluar dan penyusutan margin perniagaan.

“Kerajaan telah membina satu lapis subsidi untuk meringankan beban rakyat. Tetapi seperti yang kita nampak, ‘bil subsidi’ itu sudah tinggi.

“Kita tak tahu berapa lama dan siapa yang akan ‘bite the bullet’, siapa yang akan bayar kemudiannya,” katanya.

Mikhail berkata, walaupun pengguna belum melihat lonjakan besar harga pada masa ini, tekanan sebenar kemungkinan sedang diserap di peringkat lain dalam ekonomi termasuk syarikat, pengilang dan fiskal kerajaan.

Beliau memberi contoh bagaimana syarikat mula mengambil langkah menyesuaikan operasi untuk mengurangkan tekanan kos.

“Farm Fresh telah pun mengurangkan penggunaan botol plastik dan menggantikannya kepada kotak kertas,” katanya, merujuk peningkatan kos bahan berkaitan plastik.

Katanya lagi, sektor baja dan input pertanian antara yang perlu diberi perhatian kerana peningkatan kos boleh memberi kesan kepada sektor makanan dan perladangan dalam jangka lebih panjang.

Menurut Mikhail, walaupun perang berakhir dalam masa terdekat, kesan ekonomi tidak semestinya kembali normal serta-merta.

Beliau berkata, kerosakan terhadap fasiliti minyak di rantau Teluk boleh menyebabkan gangguan berpanjangan terhadap bekalan global.

“Walaupun perang berakhir esok, untuk kembali normal mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya setahun atau setahun setengah untuk kembali kepada situasi sebelum perang,” katanya.

Beliau menjelaskan, jika gangguan hanya melibatkan penutupan sementara Selat Hormuz, keadaan mungkin pulih lebih cepat.

Namun, kerosakan kepada fasiliti pengeluaran minyak dan gas menjadikan pemulihan jauh lebih kompleks kerana kapasiti bekalan memerlukan masa untuk dipulihkan.

Dalam pada itu, Mikhail menggesa rakyat Malaysia supaya lebih peka terhadap perkembangan konflik semasa dan tidak melihat isu tersebut sebagai sesuatu yang terlalu jauh daripada realiti domestik.

“Ramai orang akan cakap jangan ‘sekolahkan’ rakyat sebab rakyat tahu dan rakyat pandai. Ya, betul, rakyat pandai.

“Tetapi sekaranglah masanya untuk menunjukkan rakyat yang pandai dan rakyat yang peka,” katanya.

Beliau berpandangan psikologi pengguna turut memainkan peranan kerana kebanyakan orang hanya bertindak apabila kesan mula dirasai secara langsung.

“Selagi tak rasa sakit, dia tak mengadah,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu bersifat lebih kehadapan dalam mengenal pasti sektor yang paling terdedah supaya langkah mitigasi dapat dilaksanakan lebih awal sekiranya konflik terus berpanjangan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img