Rapid Rail teruskan tren alternatif, bas perantara percuma esok susulan kejadian tren tergelincir

PERKHIDMATAN tren alternatif dan bas perantara percuma di laluan Ampang/Sri Petaling diteruskan esok susulan kerja baik pulih masih dijalankan berikutan kes Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin pada Khamis lalu. ini.

Rapid Rail dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang sepanjang tempoh kerja penyelenggaraan berjalan.

Menurut kenyataan itu, tren dari Sentul Timur akan berpatah balik di Stesen Pudu dengan kekerapan setiap empat minit.

Bagi laluan Ampang, katanya, tren perantara akan beroperasi antara Ampang dan Maluri di Platform 2 dengan kekerapan enam minit, manakala tren perantara antara Maluri dan Chan Sow Lin di Platform 1B dan 2B akan beroperasi setiap lapan minit.

Sementara itu, tren dari Putra Heights akan berpatah balik di Stesen Bandar Tasik Selatan dengan kekerapan enam minit.

Perkhidmatan tren perantara antara Bandar Tasik Selatan dan Cheras di Platform 1 serta antara Cheras dan Pudu di Platform 1 turut disediakan dengan kekerapan lapan minit.

“Selain itu, bas perantara percuma akan beroperasi antara Hang Tuah, Cheras dan Pandan Jaya dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit, bergantung kepada keadaan trafik semasa.

“Penumpang dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan rel alternatif yang bersesuaian bagi mengurangkan sebarang kesulitan,” kata kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Dalam kejadian Khamis lalu, tren LRT bagi Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan berdekatan Stesen Chan Sow Lin sehingga menjejaskan jadual perkhidmatan.

Ketika kejadian, terdapat 25 penumpang dan mereka selamat dipindahkan dengan tiada kecederaan dilaporkan.

Orang ramai yang memerlukan bantuan turut diminta mendapatkan maklumat lanjut daripada pegawai stesen atau polis bantuan yang bertugas.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img