APAD pandang serius kejadian tren LRT tergelincir

AGENSI Pengangkutan Awam Darat (APAD) memandang serius insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) tergelincir landasan berhampiran Stesen Chan Sow Lin di ibu negara, semalam.

Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan, pemeriksaan tapak dilaksanakan sejurus selepas kejadian bagi menilai keadaan awal insiden serta memastikan tindakan segera diambil oleh pihak pengendali.

Pemeriksaan tapak pertama diketuai Ketua Pengarah APAD bersama wakil Bahagian Penguatkuasaan Rel dan Bahagian Perancangan Rel.

“Sesi pemeriksaan tapak kedua pula telah diadakan pada jam 3 petang melibatkan wakil Kementerian Pengangkutan (MoT) bagi meneliti perkembangan awal siasatan, tahap keselamatan operasi serta langkah susulan yang perlu dilaksanakan oleh pihak pengendali.

“Selaras dengan arahan YB Menteri Pengangkutan, APAD telah membuka kertas
siasatan serta-merta bagi menyiasat insiden ini secara menyeluruh.

“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk meneliti aspek pematuhan prosedur operasi standard, penyelenggaraan aset, sistem keselamatan serta pengoperasian tren,” menurut kenyataan APAD yang dikeluarkan hari ini.

APAD dalam pada itu menegaskan, keselamatan pengguna, kebolehpercayaan sistem rel serta integriti perkhidmatan pengangkutan awam tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.

Katanya, siasatan akan dijalankan secara bebas, telus, profesional dan menyeluruh, sebelum tindakan sewajarnya diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Justeru, pihak pengendali diarahkan mengemukakan laporan lengkap berhubung insiden itu secepat mungkin untuk penelitian lanjut APAD.

“Laporan berkenaan akan diteliti secara terperinci sebelum proses temu siasat dan penelitian lanjut dilaksanakan oleh APAD bagi mengenal pasti faktor-faktor yang menyumbang kepada kejadian serta menentukan sama ada wujud sebarang unsur ketidakpatuhan, kecuaian atau pelanggaran syarat lesen pengendalian.

“Sekiranya didapati berlaku pelanggaran syarat lesen oleh pihak pengendali, tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Seksyen 101 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].

“Selain itu, siasatan juga turut merangkumi aspek kecuaian di bawah Seksyen 202
dan Seksyen 128 Akta 715, termasuk terhadap mana-mana individu yang
didapati gagal melaksanakan tanggungjawab atau cuai semasa menjalankan
tugas sehingga menjejaskan keselamatan operasi rel,” tambahnya.

APAD akan terus bekerjasama rapat dengan MoT serta agensi berkaitan bagi memastikan tahap keselamatan dan keyakinan orang awam terhadap sistem pengangkutan awam rel sentiasa terpelihara.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img