LRT tergelincir : Laluan LRT Chan Sow Lin dijangka pulih 3 Jun – Anthony

LALUAN Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang/Sri Petaling yang terganggu susulan insiden tren tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin semalam dijangka kembali beroperasi sepenuhnya pada 3 Jun ini selepas kerja-kerja baik pulih landasan selesai dilakukan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerja pembaikan dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima hari sebaik tren yang tergelincir berjaya dialihkan dari lokasi kejadian bermula hari ini.

“Selepas tren ini dikeluarkan, maka kerja-kerja untuk membaiki landasan akan dimulakan dan akan mengambil masa tiga hingga lima hari.

“Dijangka trek ini akan digunakan semula, diaktifkan semula pada hari Rabu, 3 Jun iaitu selepas cuti panjang hujung minggu ini dan keadaan akan mengambil hampir seminggu atau 10 hari untuk kembali secara normal,” katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi kejadian di Stesen LRT Chan Sow Lin, hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati gerabak pertama masih berada di landasan yang betul menghala ke Putra Heights, namun gerabak-gerabak seterusnya berada di landasan menghala ke Ampang.

Katanya, punca sebenar membabitkan sistem suis landasan atau ‘switch station’ yang dipercayai tidak berfungsi dengan baik masih disiasat secara terperinci.

Anthony berkata, buat sementara waktu, tren dari Ampang ke Sentul Timur perlu berhenti di Chan Sow Lin sebelum berpatah balik ke Ampang bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan.

Beliau berkata, semua stesen di laluan berkenaan masih beroperasi dan menerima penumpang, namun pengguna perlu membuat pertukaran tren di beberapa stesen termasuk Chan Sow Lin dan Pudu.

“Apabila laluan ini diaktifkan semula nanti, kelajuan tren akan dikawal walaupun perkhidmatan kedua-dua hala dibenarkan,” katanya.

Tambah beliau, kekerapan tren juga dijangka lebih perlahan iaitu antara enam hingga lapan minit sepanjang tempoh gangguan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img