HASRAT seorang lelaki untuk menyambut Hari Gawai bertukar tragedi apabila dia ditemukan lemas selepas hilang dalam kejadian perahu karam di Nanga Balang Gaat, Kuching, petang Ahad lalu.
Mangsa, Spielberg Dylan anak Sekunyir, 32, ditemukan penduduk kampung pada jam 7.10 pagi tadi sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira sejam kemudian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.28 pagi semalam.
Menurutnya, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 72 kilometer dari balai dan tiba pada jam 10.42 pagi.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada rakan mangsa, kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 petang Ahad apabila perahu yang dinaiki mereka terlanggar batu di tengah sungai.
“Dalam kejadian itu, enam individu berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa dipercayai dihanyutkan arus selepas dilihat berada kira-kira 50 meter dari lokasi perahu karam sebelum hilang daripada pandangan,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang operasi SAR, pasukan penyelamat menjalankan pencarian di permukaan air dalam radius enam kilometer dari lokasi kejadian.
Katanya, operasi turut dibantu penduduk rumah panjang berhampiran yang melakukan pencarian di sepanjang tebing kiri dan kanan sungai bagi meningkatkan peluang mengesan mangsa.
“Pasukan SAR menggunakan perahu yang disediakan penduduk rumah panjang untuk menjalankan operasi pencarian,” ujarnya.


