Wanita ‘kantoi’ reka cerita kononnya disamun empat lelaki

TINDAKAN seorang wanita membuat laporan kononnya disamun empat lelaki bersenjata memakan diri apabila siasatan polis membuktikan kejadian yang didakwa berlaku itu hanyalah rekaan semata-mata.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee berkata, wanita tempatan berusia 29 tahun itu membuat laporan polis pada jam 1.58 pagi, 28 Mei lalu dengan mendakwa menjadi mangsa samun di tepi jalan berhadapan Gereja Miri Gospel Chapel, Pujut.

Menurutnya, wanita berkenaan mendakwa kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam sehari sebelumnya ketika dia berhenti di lokasi berkenaan untuk membuang air besar.

“Pengadu mendakwa didatangi empat lelaki menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda sebelum salah seorang daripada mereka mengacukan pistol ke arah perutnya.

“Dia turut mendakwa kehilangan rantai leher emas, cincin emas, gelang emas dan wang tunai RM350 dengan jumlah kerugian dianggarkan RM3,130,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan laporan itu, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menjalankan siasatan terperinci.

Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati terdapat pelbagai percanggahan dan kelompongan dalam keterangan yang diberikan wanita terbabit.

Mohd Farhan berkata, risikan dan siasatan lanjut kemudian berjaya menemukan bukti bahawa kejadian samun yang dilaporkan itu tidak pernah berlaku.

“Berikutan bukti yang diperoleh, pengadu akhirnya mengaku bahawa laporan polis yang dibuat adalah tidak benar.

“Semua barang kemas serta wang tunai yang didakwa disamun itu juga ditemui berada dalam simpanannya sendiri,” katanya.

Beliau berkata, susulan pengakuan itu, satu laporan polis dibuat oleh pegawai penyiasat terhadap wanita berkenaan kerana memberi maklumat palsu kepada penjawat awam.

Katanya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan polis palsu bagi kepentingan peribadi kerana perbuatan berkenaan merupakan satu kesalahan serius di sisi undang-undang.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img