DUA beradik perempuan yang dilaporkan hilang selepas mandi di Sungai Jeram Pasar di Kampung Jeram Hulu, Kuala Nerus petang tadi ditemukan lemas kira-kira tiga jam kemudian.
Mangsa, Nur Afiqah Shahirah Mohd Shawalluddin, 15, dan adik tirinya, Nur Shahila Shahirah Azman, 12, masing-masing ditemukan di dasar sungai kira-kira 50 meter dari lokasi mereka dipercayai tenggelam.
Pegawai Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba II Baharum Muhamad Hasim berkata, kedua-dua mangsa ditemukan menerusi selaman kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekitar jam 6 petang.
”Mangsa ditemui berhampiran antara satu sama lain di dasar sungai pada kedalaman kira-kira tujuh meter dan jarak 50 meter dari tebing sungai,” katanya di lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi SAR mengambil masa hampir tiga jam sebelum kedua-dua mangsa berjaya ditemukan.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang tadi, kedua-dua mangsa dipercayai mandi bersama dua lagi rakan sebelum dihanyutkan arus deras.
Bagaimanapun, dua rakan mangsa berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung yang berada di lokasi kejadian.


