ENAM individu termasuk dua gadis bawah umur ditahan selepas dipercayai terbabit dalam aksi berbahaya ‘wheelie’ di beberapa jalan utama sekitar ibu kota yang tular menerusi video di media sosial berdurasi 44 saat.
Ketuan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa mengesahkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.30 pagi pada 23 Mei lalu di Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak dan Jalan P. Ramlee.
Menurutnya, rakaman itu memaparkan beberapa penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya bersama pembonceng di jalan raya awam.
“Hasil risikan dan operasi Unit Risikan/Operasi (RO) JSPT Kuala Lumpur, tangkapan pertama dilakukan pada 1 Jun lalu kira-kira jam 3.20 pagi membabitkan seorang penunggang lelaki berusia 20 tahun dan pembonceng perempuan berusia 16 tahun.
“Kedua-duanya yang merupakan pasangan kekasih menggunakan motosikal Yamaha 135LC berwarna putih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan itu satu lagi tangkapan dilakukan pada 2 Jun kira-kira jam 12.54 pagi membabitkan dua penunggang lelaki masing-masing berusia 17 dan 16 tahun bersama dua pembonceng perempuan berusia 18 dan 15 tahun.
Katanya, kesemua mereka dipercayai terbabit dalam rakaman video tular berkenaan.
“Tangkapan kedua melibatkan dua motosikal Yamaha 135LC (FI) berwarna biru. Hubungan antara penunggang dan pembonceng dalam tangkapan kedua adalah sebagai rakan,” katanya.
Katanya, semua suspek sudah dirakam percakapan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya,” ujarnya
Zamzuri berkata, semua suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis kerana terdapat individu bawah umur dalam kumpulan itu.


