Bayi sebulan cedera tercampak keluar dari kereta selepas terbabit kemalangan

SEORANG bayi berusia sebulan cedera di kepala selepas tercampak keluar dari kereta dinaikinya dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), berhampiran sebuah stesen minyak di Melaka, malam tadi.

Insiden kira-kira jam 10 malam itu berlaku ketika bayi lelaki masih dalam pantang itu dibawa ibu bapanya menaiki sebuah kereta Proton Saga.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Halim Abas berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki mangsa sedang bergerak keluar dari kawasan stesen minyak itu untuk memasuki Lebuh AMJ sebelum terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan lain.

Beliau berkata, bayi itu sedang dipangku ibunya di tempat duduk belakang sebelum mangsa dipercayai tercampak keluar ke kawasan berumput akibat impak perlanggaran berkenaan.

Menurutnya, dalam kejadian itu, bayi terbabit mengalami bengkak pada bahagian kepala, manakala ibunya berusia 25 tahun mengadu sakit belakang.

“Bagaimanapun, bapa bayi iaitu pemandu Proton Saga itu dilaporkan tiada mengalami sebarang kecederaan.

“Bayi lelaki itu bersama ibunya kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Halim berkata, kedua-dua mangsa dibenarkan pulang selepas keadaan mereka dilaporkan stabil oleh pihak hospital.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kenderaan lain dipercayai terbabit insiden itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Adhwa Jamal di talian 011-2690 5852 bagi membantu siasatan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img