Lelaki tinggalkan kereta berisi petrol seludup, lari ketika diserbu

SEORANG lelaki bertindak melarikan diri dan meninggalkan kereta yang mengandungi 100 liter petrol disyaki untuk diseludup selepas menyedari diekori anggota penguat kuasa dalam serbuan di Kampung Geting, Tumpat, semalam.

Serbuan kira-kira jam 8.02 pagi itu dilakukan sepasukan anggota Unit Risikan dan Tindakan Khas (URTK) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Pengkalan Kubor.

Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, sebelum serbuan dijalankan, pihaknya mengekori sebuah kereta jenis Proton Saga Iswara yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dari sebuah stesen minyak di Terbak.

Menurutnya, sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, kenderaan terbabit berhenti di hadapan sebuah rumah di Kampung Geting.

“Suspek dipercayai melarikan diri sejurus serbuan dilakukan dan gagal dikesan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemukan 100 liter petrol yang dipercayai disimpan bagi tujuan penyelewengan atau penyeludupan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan turut mendapati tangki kereta berkenaan dipercayai telah diubah suai bagi membolehkan petrol dibawa dalam kuantiti yang lebih besar.

Katanya, semua barangan dirampas untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Hanif berkata, KPDN Kelantan akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyelewengan serta penyeludupan barang kawalan bersubsidi yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat dan negara.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan diminta menyalurkannya kepada pihak KPDN bagi membantu tindakan penguatkuasaan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img