KEGIATAN seorang lelaki dan pekerjanya menjual iguana serta kura-kura secara haram terbongkar selepas rumahnya di Wakaf Bharu 2, Tumpat diserbu, Rabu lalu.
Serbuan pukul 12.09 tengah hari dijalankan sepasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Kelantan bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pemeriksaan di kediaman terbabit menemui sembilan ekor disyaki iguana dan lapan ekor disyaki kura-kura jenis African Spurred Tortoise.
Menurutnya, kesemua hidupan liar yang dilindungi mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) terbabit dianggarkan bernilai RM25,200.
“Kita turut menyita lima sangkar serta satu unit telefon bimbit. Dua lelaki tempatan berusia 39 dan 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, lelaki berusia 39 tahun itu disyaki pemilik hidupan liar terbabit, manakala seorang lagi tangkapan ialah pekerjanya.
Katanya, siasatan awal mendapati spesies terbabit diperolehi dari Thailand untuk dijual dan aktif sejak setahun lalu.
“Kedua-dua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, manakala barang kes dihantar ke Pejabat Perhilitan Kuala Krai bagi tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.


