POLIS menahan seorang wanita berusia 22 tahun disyaki mencampak bayi perempuan baru dilahirkannya dari tingkat 10 sebuah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Johor Bahru sehingga mengakibatkan kematian mangsa pada 2 Mei lalu.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, suspek wanita tempatan itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari tadi di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA), di Johor Bahru.
Menurut beliau, tangkapan dibuat berdasarkan keterangan diperoleh sepanjang siasatan yang mengaitkan suspek dengan kejadian bayi masih bernyawa dibuang dari tingkat 10 sehingga menyebabkan kematian.
“Suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru esok mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh.
“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Media pada 22 Mei lalu melaporkan, pihak berkuasa sedang menyiasat dakwaan yang tular mengenai kejadian seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan maut akibat dicampak dari tingkat 10 sebuah flat PPR di Johor Bahru beberapa hari sebelum itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Johor, Khairin Nisa Ismail dilaporkan berkata, kejadian itu yang dikatakan berlaku beberapa hari lalu itu menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat.
Chuan Huat berkata, siasatan pada mulanya dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada pihak pendakwaan.
Terdahulu, katanya, polis menerima laporan mengenai penemuan mayat seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan, di kawasan parkir PPR itu kira-kira jam 2.40 petang 2 Mei lalu.
“Hasil siasatan awal mendapati bayi itu dipercayai dicampak dari tingkat 10 flat berkenaan.
“Beberapa saksi telah dirakam keterangan dan kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Johor sebelum arahan pertuduhan diperoleh,” katanya.
Chuan Huat berkata, hasil semakan rekod mendapati suspek tiada sebarang rekod jenayah lampau.
Beliau sekali gus menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes itu.


