SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang kenalannya menggunakan parang dalam kejadian di Flat Ampang Jajar, bulan lalu.
Tertuduh, J. Tanabalan, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap lelaki berusia 29 tahun menggunakan sebilah parang sepanjang kira-kira 70 sentimeter yang, jika digunakan sebagai senjata salah, boleh menyebabkan kematian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Blok C Flat Ampang Jajar, Butterworth kira-kira jam 4 pagi pada 25 Mei lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, Tanabalan memohon jaminan rendah atas alasan bekerja sebagai buruh, manakala isterinya merupakan pekerja kilang dan mereka perlu menyara tiga anak yang masih bersekolah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dan menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan semula kes, penyerahan laporan perubatan serta lantikan peguam.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa mengalami kecederaan serius termasuk patah kedua-dua tangan, cedera pada kaki kanan dan retak di kepala sehingga dikhuatiri mengalami kecacatan kekal.
Difahamkan, kejadian berpunca daripada salah faham antara kedua-dua lelaki terbabit.


