POLIS membongkar kegiatan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menggunakan perairan Port Dickson sebagai laluan penyeludupan ke Indonesia menerusi bot pancung selepas merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.44 juta dalam dua serbuan awal pagi semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, operasi yang dijalankan kira-kira jam 3 pagi itu hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Port Dickson dengan kerjasama Cawangan Khas Daerah Port Dickson dan Pasukan Polis Marin Wilayah 2.
Menurut beliau, dalam serbuan pertama di kawasan perairan Kampung Kuala Lukut, polis menahan dua lelaki warga Indonesia berusia 30 dan 34 tahun yang berada di dalam sebuah bot pancung.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut menemukan 10 bungkusan dadah disyaki syabu seberat 12 kilogram yang dianggarkan bernilai RM600,000.
“Turut dirampas sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan berkenaan,” katanya pada sidang media hari ini.
Alzafny berkata, operasi susulan kemudian membawa kepada pengesanan sebuah kereta jenis Perodua Myvi di kawasan Tanjung Agas sebelum pemandunya bertindak melarikan diri.
Menurutnya, polis mengejar suspek sejauh kira-kira enam kilometer sebelum kenderaan itu terbabas di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran Pengkalan Kempas, Linggi.
“Bagaimanapun, suspek berjaya meloloskan diri dengan meninggalkan kenderaan berkenaan di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan lanjut menemui 12 bungkusan dadah disyaki syabu seberat 14.4 kilogram bernilai kira-kira RM744,000 serta 100 kartrij cecair vape disyaki mengandungi ketamin bernilai kira-kira RM100,000,” katanya.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek yang melarikan diri merupakan lelaki tempatan berusia 42 tahun dan mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Katanya, keseluruhan rampasan dalam operasi berkenaan dianggarkan bernilai RM1.44 juta.
Mengulas modus operandi sindiket, Alzafny berkata, dadah dipercayai dibawa dari Kuala Lumpur sebelum dihantar ke Port Dickson untuk diseludup ke Indonesia melalui jalan laut.
“Lelaki tempatan yang melarikan diri itu dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’, manakala dua warga Indonesia yang ditahan berperanan sebagai penerima dan penghantar dadah ke Dumai.
“Ini kali pertama polis mengesan sindiket menggunakan perairan Port Dickson untuk menghantar dadah ke Indonesia,” katanya.
Beliau berkata, sindiket menggunakan bot pancung yang dilengkapi dua enjin berkuasa 200 kuasa kuda (hp), membolehkan perjalanan ke Dumai mengambil masa antara dua hingga dua jam 30 minit.
Menurutnya, siasatan turut mendapati suspek tempatan itu dipercayai merancang membuat penghantaran kedua sejurus selesai menyerahkan dadah kepada dua warga Indonesia berkenaan, namun gagal selepas dikesan pihak polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Usaha mengesan suspek yang masih bebas serta mengenal pasti rangkaian sindiket yang terbabit sedang giat dijalankan,” katanya.


