KPN siasat dakwaan ‘Mr A’ dalang sindiket dadah di Langkawi

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat dakwaan kewujudan rangkaian sindiket pengedaran dadah di Langkawi yang dipercayai didalangi seorang anggota polis dikenali sebagai ‘Mr A’.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu atau kumpulan yang terlibat sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

“Itu (dakwaan) masih lagi dalam siasatan, saya perlu pastikan siapakah yang terlibat, individu yang berkaitan atau pun kumpulan-kumpulan yang berkaitan. Jadi, kita tak dapat komen buat sementara.

“Sudah pasti kita tidak akan berkompromi (jika ada anggota polis terlibat aktiviti jenayah). Tahun ini saja, kita sudah buat banyak rampasan besar-besar bagi memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin,” katanya selepas Majlis Pelancaran Dialog Khas Polis, hari ini.

Ketika ditanya sama ada siasatan turut membabitkan tindakan dalaman di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), beliau berkata tindakan akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.

“Sekiranya dia berkaitan dengan undang-undang keselamatan dan sebagainya, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan selepas kematian ketua sindiket dikenali sebagai ‘Pablo Escobar Langkawi’, Mat Nahar, enam tahun lalu, muncul satu rangkaian baharu yang didakwa diketuai seorang anggota polis dikenali sebagai ‘Mr A’ di pulau peranginan itu.

Laporan itu turut mendakwa beberapa individu yang pernah menganggotai sindiket Mat Nahar kini dipercayai menyertai rangkaian baharu berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah berkata, pasukan polis perlu beralih kepada paradigma kepolisan moden yang menekankan integrasi teknologi dan perkongsian maklumat secara holistik bagi mendepani ancaman keselamatan rentas sempadan.

Katanya, ancaman keselamatan semasa tidak lagi tertumpu kepada jenayah konvensional semata-mata.

Pada majlis sama, PDRM dan Universiti Sains Malaysia memperbaharui memorandum perjanjian dalam bidang sains forensik, selain menghimpunkan lebih 3,000 peserta menerusi 31 sesi forum, bengkel teknikal dan pameran berkaitan keselamatan maritim, narkotik dan inovasi penguatkuasaan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img