Penjaga rumah kebajikan dipenjara 36 tahun, 6 sebatan amang seksual lima kanak-kanak

SEORANG penjaga rumah kebajikan kanak-kanak dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang hari ini selepas mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap lima kanak-kanak lelaki berusia antara lapan hingga 13 tahun.

Hakim Ho Kwong Chin menjatuhkan hukuman itu terhadap Retna Velu, 25, selepas tertuduh mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tamil.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi setiap tiga kes dijalankan secara berasingan, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman yang perlu dijalani tertuduh ialah 36 tahun penjara serta enam sebatan, berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 3 April lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap lima penghuni sebuah pusat jagaan kanak-kanak milik pertubuhan kebajikan di Batu Caves antara November 2025 hingga Mac lalu.

Bagi kesalahan amang seksual fizikal, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Sementara itu, bagi kesalahan amang seksual bukan fizikal, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(a)(i) dan 15(a)(ii) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan.

“Saya mengaku bersalah, minta kurang hukuman tuan,” katanya yang memakai pakaian lokap berwarna jingga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon supaya hukuman bagi semua pertuduhan dijalankan secara berasingan memandangkan kesalahan itu melibatkan kanak-kanak.

Menurutnya, jenayah seksual yang dilakukan adalah serius kerana memberi kesan mendalam terhadap maruah, keselamatan dan masa depan mangsa.

“Kes ini melibatkan lima mangsa yang semuanya kanak-kanak. Kesan jenayah yang dilakukan akan berlarutan sepanjang hayat mereka.

“Justeru, hukuman yang dijatuhkan perlu menggambarkan keseriusan kesalahan tersebut,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, perbuatan itu terbongkar selepas beberapa penghuni pusat jagaan berkenaan mendedahkan kejadian yang menimpa mereka, kepada Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor.

Siasatan mendapati, mangsa dikejutkan daripada tidur, lalu tertuduh melakukan perbuatan tersebut dalam beberapa kejadian berasingan di bilik, tandas dan dapur.

Mangsa juga didakwa diugut supaya tidak mendedahkan kejadian itu kepada sesiapa kerana bimbang dimarahi atau dipukul.

Pemeriksaan di Hospital Selayang kemudian mendapati terdapat kesan kecederaan serta koyakan lama dan baharu di dubur mangsa sebelum tertuduh ditahan polis pada 3 April lalu.

Pada 21 Mei lalu, tertuduh dihukum penjara 11 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku bersalah atas enam kes amang seksual fizikal, bukan fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia lapan dan 10 tahun.

Prosiding itu turut dihadiri peguam pemerhati, S Kirthen dan S Premila bagi pihak waris mangsa dan Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img