ANAK kepada pendaki wanita yang masih hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terus mendoakan keselamatan ibunya serta terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang dijalankan.
Menerusi satu hantaran di aplikasi Threads menggunakan akaun deefzl._, beliau turut mengambil kesempatan memohon maaf bagi pihak ibunya sekiranya pernah melakukan sebarang kesilapan kepada mana-mana pihak.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf sekiranya ibu saya, Jaslinda binti Saludin, ada melakukan sebarang salah silap kepada sesiapa sahaja sama ada sedari atau tidak.
“Sebagai waris, saya dengan rendah hati memohon maaf bagi pihak beliau,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang tidak putus-putus memberikan doa, nasihat, petua serta sokongan kepada keluarganya sejak kehilangan Jaslinda.
“Kepada semua yang telah memberi doa, nasihat, petua dan sokongan, kami amat menghargainya.
“Insya-Allah, segala yang baik demi usaha mencari ibu akan kami terima dan usahakan dengan bantuan Allah SWT. Teruskan berdoa ya,” katanya.
Dalam hantaran sama, beliau turut mendoakan agar segala jasa dan kebaikan semua pihak yang membantu dibalas dengan ganjaran berlipat kali ganda oleh Allah SWT.
“Ya Allah, terima kasih atas kehadiran setiap insan yang tidak putus-putus mendoakan ibu saya, Jaslinda serta kepada semua anggota dan pihak yang terlibat dalam usaha pencarian.
“Saya dan keluarga juga mendoakan agar setiap kebaikan, keikhlasan dan doa yang diberikan dibalas dengan ganjaran yang berlipat ganda oleh Allah SWT. Hanya Allah SWT yang mampu membalas segala jasa semua.
“Ibu, we miss you (kami rindu awak),” tulisnya.
Terdahulu, Jaslinda dilaporkan menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 pendaki lain dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang memulakan perjalanan pada jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung–Gunung Bah Gading–Gunung Batu Putih–Kuala Woh.
Wanita itu yang dilaporkan mengalami kecederaan pada kaki sebelum itu difahamkan berhenti berehat di Kem Batu Core bersama seorang pendaki lelaki yang mengalami masalah pernafasan serta seorang malim gunung.
Bagaimanapun, Jaslinda dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Batu Putih bersendirian sebelum gagal dikesan.
Operasi SAR yang memasuki hari ke-12 kini diteruskan dalam skala lebih kecil dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta komuniti Orang Asli setempat.


