SEORANG guru sekolah menengah melecur kira-kira 50 peratus pada muka dan tangan selepas berlaku letupan gas di dapur rumah sewanya di Taman Baiduri, Kuala Ina, Alor Gajah, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.26 pagi itu, Mohamad Edham Zul, 29, dipercayai terdengar bunyi mencurigakan yang disyaki berpunca daripada kebocoran gas sebelum bertindak memeriksa punca kejadian.
Bagaimanapun, pemeriksaan itu bertukar tragedi apabila berlaku letupan yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan melecur serius.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, mangsa yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor Shah, Tampin menerima rawatan awal daripada anggota Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa dipercayai melakukan pemeriksaan bagi mengenal pasti punca bunyi tersebut sebelum berlaku satu letupan yang menyebabkan kecederaan melecur dianggarkan 50 peratus pada beberapa anggota badan.
“Pemeriksaan serta pemantauan risiko kebocoran gas susulan turut dilaksanakan termasuk mendapatkan bantuan agensi berkaitan bagi memastikan keadaan berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Menurut beliau, impak letupan itu turut menyebabkan kerosakan ketara pada struktur rumah termasuk bahagian bumbung, pintu dan tingkap.
Katanya, kesan haba serta jelaga juga ditemui di sekitar ruang dapur yang dipercayai menjadi lokasi letupan berlaku.
Sementara itu, kakak mangsa, Nurul Atiqah Zul, 31, berkata adik bongsunya itu kini berada dalam keadaan stabil namun akan dipindahkan dari Hospital Kuala Pilah ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan kulit.
“Anak dan isteri adik terselamat dalam kejadian itu dan keadaan mereka juga semakin baik,” katanya.


