TIGA individu dijatuhi hukuman penjara, denda dan sebatan oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengurung, memeras ugut, mencederakan serta memaksa seorang wanita berbogel sebelum merakam video mangsa, bulan lalu.
Tertuduh, Mohamad Salehuddin Ali, 34, dihukum penjara tiga tahun dan tiga sebatan, manakala Nur Syuhaidah Saharan, 34, dipenjara dua tahun enam bulan. Seorang lagi tertuduh, Aliza Khamis, 45, dikenakan denda RM2,000.
Majistret Arun Noval Dass memerintahkan hukuman penjara terhadap Nur Syuhaidah berjalan serentak dari tarikh sabitan, manakala hukuman terhadap Mohamad Salehuddin berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap.
Mohamad Salehuddin berdepan empat pertuduhan, Nur Syuhaidah tiga pertuduhan dan Aliza satu pertuduhan.
Mengikut pertuduhan pertama, ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan pengurungan salah terhadap seorang wanita berusia 33 tahun mengikut Seksyen 340 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 342 kanun sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan kedua, Nur Syuhaidah dan Mohamad Salehuddin didakwa merakam mangsa dalam keadaan bogel menggunakan telefon bimbit dan didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Mereka turut berdepan pertuduhan memeras ugut mangsa sehingga menyerahkan wang tunai RM4,200 serta sebuah telefon bimbit.
Selain itu, Mohamad Salehuddin turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa dengan menumbuk muka, badan, kaki, perut dan dada wanita itu berulang kali menggunakan tangan, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Banang Heights antara jam 7 pagi hingga 11 pagi pada 13 Mei lalu.
Berdasarkan fakta kes, mangsa menerima panggilan telefon daripada salah seorang tertuduh yang memintanya datang ke sebuah rumah.
Sebaik tiba di lokasi, mangsa dikurung apabila pintu rumah dikunci menggunakan mangga sehingga menyebabkannya tidak dapat keluar.
Tidak lama kemudian, Mohamad Salehuddin bersama dua lagi individu yang masih bebas memasuki rumah berkenaan sebelum bertindak memukul mangsa.
Wanita itu kemudiannya dibawa ke sebuah lagi rumah sebelum dikurung di dalam sebuah bilik.
Ketika berada di lokasi kedua, mangsa dipaksa menanggalkan pakaian sebelum dirakam menggunakan telefon bimbit oleh tertuduh.
Selepas kejadian itu, mangsa dibebaskan dan segera membuat laporan polis.
Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan mengendalikan pendakwaan, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Difahamkan, Nur Syuhaidah ketika ini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Kluang selepas didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine buat kali ketiga.


