AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Senator Datuk Nur Jazlan Mohamed, mendakwa Pas membicarakan soal penyatuan Melayu ketika Perikatan Nasional (PN) dalam keadaan lemah.
Katanya, perihal Muafakat Nasional (MN) langsung tidak dibangkitkan sewaktu PN menjadi kerajaan.

“Bila sudah jadi pembangkang dan lemah pasal PN dah berpecah dan kekurangan sumber menjelang pilihan raya baru nak cerita pasal perpaduan Melayu. Perangai Pas sejak penubuhan adalah untuk menggunakan Islam untuk memecahkan perpaduan Melayu,’’ katanya lapor FMT.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam yang menegaskan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor boleh menjadi permulaan kepada penyatuan parti politik utama Melayu, terutamanya Pas dan UMNO.
Kata Tuan Ibrahim, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu bukan sahaja mengembalikan hak memilih kepada rakyat tetapi membuka ruang kepada satu gelombang perubahan baharu dalam politik Malaysia .
‘’Satu peralihan yang berpotensi mengembalikan semula kekuatan politik Melayu-Islam di negara ini. Lebih daripada itu, ia juga mampu membentuk kekuatan politik Bumiputera, bukan sahaja di Semenanjung, bahkan juga di Sabah dan Sarawak,’’ katanya.
Ketika turut mengulas kenyataan Tuan Ibrahim, Pemuda UMNO Johor menyeru Pas memilik ‘Rumah Bangsa’ sebagai platform untuk menyatukan orang Melayu, menyahut cadangan pemimpin parti itu supaya penyatuan parti-parti Melayu dimulakan di Johor, pada PRN akan datang.
Ketuanya, Noor Azleen Ambros, berkata Pemuda UMNO Johor mengalu-alukan niat dan hasrat Pas untuk menyatupadukan orang Melayu, namun berharap ia dilakukan dengan keikhlasan dan bukan bermotifkan politik pilihan raya semata-mata.
Katanya lagi, keputusan Pas sama ada untuk bertanding atau bekerjasama pada PRN Johor kelak akan menjadi ‘penanda aras’ kepada keikhlasan parti itu.
“Keputusan Pas untuk bertanding dalam PRN Johor nanti akan jadi medan ujian untuk PAS membuktikan keikhlasan mereka. Jadi, terpulang kepada PAS,” katanya.

SEMENTARA itu , Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa menyokong gesaan Tuan Ibrahim, namun berkata usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional memerlukan UMNO-Pas untuk saling menyerahkan beberapa kerusi.
‘’Bagi saya,yang penting orang Melayu dan Islam serta parti mereka perlu muafakat dan tidak berpecah.Pemimpin mesti berani meneroka muafakat atas dasar persamaan matlamat dan ketepikan perbezaan dan masa lampau.
‘’Sekiranya UMNO menolak tawaran Timbalan Presiden Pas itu dan memilih untuk terus berkerjasama dengan DAP dan PKR saperti sekarang,maka Pas perlu mengambil tanggungjawab membentuk muafakat besar tanpa UMNO,menuju PRU 16. Barangkali di sini boleh di bentuk MUAFAKAT NASIONAL 2.0,’’ kata Annuar melalui Facebook beliau.


