MBAS tutup operasi kilang simen selepas aduan habuk, bunyi bising

SEBUAH kilang membancuh simen dan konkrit di Hutan Kampung, Alor Setar diarah menghentikan operasi serta-merta selepas didapati beroperasi tanpa kelulusan sewajarnya selain menerima aduan berkaitan pencemaran dan gangguan kepada penduduk setempat.

Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dalam kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil menerusi Operasi Penguatkuasaan Bersepadu yang dilaksanakan susulan aduan awam berhubung pencemaran habuk, bunyi bising, getaran serta isu keselamatan yang menjejaskan penduduk sekitar.

Menurut MBAS, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti tanpa mendapat kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa.

“Sehubungan itu, MBAS telah menguatkuasakan Notis Penutupan Sementara di bawah Seksyen 101(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Premis berkenaan diarahkan menghentikan semua aktiviti operasi serta-merta bermula hari ini sehingga mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

Operasi bersepadu tersebut turut melibatkan kerjasama beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA).

MBAS menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

“MBAS akan terus komited mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang demi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kualiti hidup warga bandar raya Alor Setar sentiasa terpelihara,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img