5 penumpang cedera panel kaca dalam tren LRT pecah

LIMA  penumpang cedera selepas panel kaca di dalam sebuah tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya pecah dalam insiden berhampiran Stesen Dang Wangi, petang.

Rapid KL dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 6.07 petang ketika tren berkenaan sedang bergerak keluar dari stesen tersebut.

“Insiden berlaku apabila sistem keselamatan automatik tren diaktifkan ketika ia sedang bergerak, menyebabkan kenderaan berkenaan berhenti serta-merta sebagai langkah kawalan operasi.

“Pengaktifan sistem tersebut merupakan sebahagian daripada ciri keselamatan tren sedia ada yang direka untuk memastikan sebarang situasi luar jangka dapat ditangani dengan segera,” kata kenyataan itu.

Rapid KL berkata, susulan pemberhentian tren secara tiba-tiba, seorang penumpang yang sedang berdiri dipercayai hilang imbangan sebelum botol air yang dipegangnya terlanggar panel kaca di bahagian sisi tempat duduk.

Menurut kenyataan berkenaan,  impak pelanggaran itu menyebabkan panel kaca berkenaan pecah dan serpihannya terkena beberapa penumpang yang berada berhampiran.

“Berikutan kejadian itu, lima penumpang dilaporkan mengalami kecederaan. Dua daripada mereka dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala penumpang lain menerima rawatan di lokasi sebelum meneruskan perjalanan,” menurut kenyataan itu.

Menurut Rapid KL, penumpang lain dalam tren berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah diturunkan di Stesen Damai untuk meneruskan perjalanan menggunakan tren berikutnya.

‘’Sebagai langkah berjaga-jaga dan selaras dengan prosedur operasi standard, tren yang terlibat telah dikeluarkan daripada perkhidmatan bagi membolehkan pemeriksaan teknikal menyeluruh dilaksanakan,’’ kata kenyataan itu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img