LAPAN cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang dinaiki terbabas di Kilometer (KM) 169 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Felda Bukit Tajau menghala ke Chenor hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.39 tengah hari.

Beliau berkata, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 12.50 tengah hari dan mendapati sebuah Toyota Vellfire terbabas. Terdapat lapan mangsa terlibat terdiri daripada tiga lelaki, dua perempuan dan tiga kanak-kanak lelaki yang mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun kata beliau semua mangsa tidak tersepit dalam kenderaan dan dihantar dibawa ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut.


