PGA tumpas sindiket seludup vape ke Thailand

PASUKAN Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok elektronik dan cecair vape ke Thailand selepas menyerbu sebuah rumah yang dijadikan stor simpanan di Kampung Kok Pauh, Pengkalan Kubor, Tumpat, semalam.

Dalam Ops Taring Wawasan Kelantan kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, sepasukan anggota Strike Force Batalion 8 PGA menahan seorang remaja lelaki tempatan berusia 18 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, hasil pemeriksaan di premis tersebut menemukan 2,760 unit rokok elektronik pelbagai perisa dan 1,200 unit kartrij cecair vape daripada jenama yang sama.

Menurutnya, suspek dipercayai berperanan sebagai penjaga stor selain terbabit dalam urusan membawa produk vape berkenaan ke Thailand melalui pangkalan haram di sekitar Kampung Serkong, Pengkalan Kubor.

“Siasatan awal mendapati produk berkenaan dipercayai diperoleh dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur sebelum dihantar ke Kelantan menggunakan perkhidmatan kurier.

“Hasil risikan dan pemantauan berterusan, PGA berjaya mengesan aktiviti penyimpanan produk rokok elektronik yang dipercayai untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM396,000.

Katanya, suspek bersama semua barang rampasan telah diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img