REMAJA lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan maut meragut nyawa empat sekeluarga, direman semula selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh.
Perintah reman terhadap suspek yang juga penuntut sebuah universiti di Singapura itu dikeluarkan Hakim Mujib Seroji selepas permohonan dibuat polis, pagi tadi.
Reman sehingga Isnin depan itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, selepas reman terdahulu mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 tamat kelmarin.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.45 pagi sebelum dibawa ke kamar mahkamah untuk prosiding reman yang berlangsung hampir 45 minit.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh sebelum ini memaklumkan tangkapan semula dibuat selepas kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Bagaimanapun, beliau berkata siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 masih diteruskan susulan rakaman video tular yang menunjukkan kenderaan dipandu laju dan secara melulu.
Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengarahkan kes berkenaan diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh selepas AGC meneliti semua laporan berkaitan nahas terbabit.
Dalam kejadian itu, suspek dipercayai memandu sebuah Mercedes-Benz A250 secara melulu di Jalan Renggam–Simpang Renggam sebelum terbabit dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan.
Nahas berkenaan mengorbankan empat sekeluarga iaitu Semek Mat Soh, 73; menantunya, Aiman Mohd Rashid, 36; anaknya, Nor Azlina Abd Latip, 33; serta anak saudara Aiman, Nur Airish Syifa Sidek, 10.
Abang suspek berusia 22 tahun yang memandu sebuah BMW 530e dalam perjalanan yang sama turut maut ketika mendapatkan rawatan selepas kemalangan itu.


