Op Khas JSJK : 430 suspek sindiket ‘call centre’ ditahan

SERAMAI 430 individu yang disyaki terbabit dalam sindiket penipuan pusat panggilan (‘call centre’) berjaya ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman menerusi satu operasi besar-besaran, Op Khas 03/2026.

Operasi bersepadu itu dilaksanakan secara agresif di seluruh negara bermula 26 Januari hingga 5 Februari lalu, melibatkan serbuan di pelbagai lokasi yang dikenal pasti menjadi pusat operasi sindiket.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, tangkapan berkenaan hasil tindakan proaktif dan berfokus pasukan polis dalam membanteras sindiket penipuan yang menggunakan pusat panggilan sebagai medium utama memperdaya mangsa.

“Melalui pelaksanaan Op Khas 03/2026 ini, JSJK berjaya menahan seramai 430 individu berumur antara 17 hingga 66 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penipuan berasaskan call centre.

“Daripada jumlah itu, seramai 270 adalah warganegara asing manakala 160 lagi warga tempatan,” katanya pada sidang media di Menara KPJ, hari ini.

Menurutnya, tangkapan warganegara asing tertinggi membabitkan 198 warga China diikuti 38 warga Indonesia.

Katanya, semua suspek dipercayai memainkan pelbagai peranan dalam sindiket termasuk sebagai operator, penyedia skrip panggilan serta penyelaras komunikasi.

“Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan pelbagai taktik termasuk menyamar sebagai pegawai penguat kuasa, wakil institusi kewangan serta menawarkan tawaran palsu bagi memperdaya mangsa.

“Mereka juga menggunakan skrip perbualan terancang, sistem panggilan berpusat serta teknologi komunikasi moden bagi meningkatkan keberkesanan penipuan selain mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Rusdi berkata, dalam tempoh operasi selama 11 hari itu, serbuan dijalankan di beberapa negeri utama dengan memfokuskan kepada premis kediaman, pejabat komersial serta unit bangunan yang dijadikan pusat panggilan secara terselindung.

“Hasil serbuan, polis merampas pelbagai peralatan komunikasi dan dokumen dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM307,860.92.

“Sebanyak 74 kertas siasatan dibuka di bawah pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 18 kertas siasatan telah berjaya dituduh di mahkamah.

“Tindakan ini menunjukkan komitmen berterusan JSJK dalam membanteras sindiket penipuan yang semakin berkembang dan terancang,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img