Kerajaan Persekutuan kekal iktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan

KERAJAAN Persekutuan kekal mengiktiraf dan akan terus berkhidmat kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian rasmi kerajaan itu dibuat mengikut saluran perundangan dan Perlembagaan biarpun terdapat usaha memasyhurkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, menggantikan Tuanku Muhriz.

Beliau menegaskan, sebarang pandangan lain mengenai isu berkenaan perlu dibuat mengikut saluran sah mengikut Perlembagaan bagi mengelakkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Ini kerana, katanya, menggugurkan atau memansuhkan mana-mana raja akan memberikan implikasi sangat besar terhadap negara dan keamanan tanah air.

“Krisis di Negeri Sembilan tentunya sedikit menggusarkan kerana institusi Raja ada peraturan, kaedah dan cara kemuliaannya. Jika digugat begini rupa, ia mesej yang sangat tidak baik.

“Saya tidak menafikan hak sesiapa ikut saluran undang-undang dan perlembagaan negeri tetapi hujah harus kuat. Sebab ini kita pandang berat dan saya sudah memberi pandangan ini kepada pihak berkenaan.

“Kita harus ikut saluran mahkamah yang buat keputusan tadi dan dan kita juga sudah beri nasihat tetapi diteruskan pengisytiharan di hotel yang saya fikir juga tidak menjejaskan juga imej dan identiti Raja ditabalkan di pekarangan hotel,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Meranti di Puchong hari ini.

Hari ini,  krisis adat dan Perlembagaan di Negeri Sembilan semakin kelam kabut apabila beredar video Tunku Nadzaruddin dimahsyurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan oleh Undang yang Empat serta Tunku Besar Tampin dan Dato’ Syahbandar Sungei Ujong.

Dalam video itu Datuk Undang Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad dilihat membaca pengisytiharan pelantikan Tunku Nadzaruddin sambil disaksikan oleh Tokoh Budaya dan Adat Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img