PEGUAM kepada Undang Luak Jelebu, Khairul Azam Abdul Aziz mendakwa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun malam tadi adalah tidak sah.
Katanya mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, pembubaran tersebut bukan sahaja perlu mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar (YDPB) Negeri Sembilan tetapi juga Undang Yang Empat atau majoriti anggota Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
“Saya mengesahkan bahawa Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Johol tidak dihubungi langsung untuk pembubaran tersebut.
“Jadi keabsahan pembubaran berkenaan boleh dipertikaikan dan saya sahkan pengumuman dibuat malam tadi (Khamis) tidak mendapat perkenan Datuk-Datuk Undang,” katanya lapor Sinar Harian.
Khairul berkata, pihaknya sudah menjangkakan perkara tersebut berlaku dan bersedia mengambil tindakan selanjutnya.
Beliau memberitahu, salah satu tindakan yang akan dilakukan ialah menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memaklumkan bahawa pengumuman berkenaan tidak mendapat perkenan pemerintah.
Pada sidang media khas di Seremban malam tadi, Aminuddin mengumumkan pembubaran DUN Negeri Sembilan selepas menghadap Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap pada jam 8.30 malam.
Sementara itu, Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman memaklumkan notis pembubaran DUN telah dihantar secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, notis berkenaan ditandatangani kira-kira jam 10.30 pagi sebelum diserahkan kepada SPR oleh pihak Dewan.
“Tugas saya hanya menyampaikan notis pembubaran itu kepada SPR untuk tindakan SPR seterusnya. Dalam pukul 10.30 pagi tadi saya telah tandatangan kemudian pihak DUN hantar notis itu ke pihak SPR,” katanya


