Penganggur mengaku salah tumbuk pemandu, didenda RM2,000

TINDAKAN seorang penganggur melepaskan kemarahan dengan menumbuk seorang pemandu selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya mengundang padah apabila didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Uthman Abd Ghani terhadap tertuduh, S Nandah Kumar Naidu, 47, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, dua tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencederakan seorang lelaki berusia 26 tahun dalam kejadian di Jalan Mahindasa, Bukit Serindit, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 2.20 petang pada 23 November 2024.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa ketika itu berada di dalam sebuah Perodua Axia yang berhenti di tepi jalan berhampiran persimpangan Jalan Mahindasa sebelum kenderaannya dirempuh sebuah Proton Iswara yang dipandu tertuduh.

Mangsa kemudian keluar dari keretanya untuk memeriksa keadaan sebelum tertuduh bertindak memukul kepala mangsa menggunakan tangan.

Kejadian itu turut dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) milik mangsa.

Mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Melaka dan disahkan mengalami kecederaan di bahagian kiri kepala serta rusuk kiri akibat dipukul.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan tidak bekerja selain perlu menanggung empat ahli keluarga.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi perbuatan sama dan sentiasa mematuhi undang-undang.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 dan sekiranya gagal membayar denda tersebut, tertuduh boleh dipenjarakan selama empat bulan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img