JENAZAH lima sekeluarga termasuk seorang bayi lelaki berusia dua bulan yang maut dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan lori muatan tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani, semalam, selamat dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan hari ini.
Jenazah anggota polis, Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 29, isterinya, Jamaliah Sannusi, 29, bayi mereka, Ahmad Mikail Ahmad Shukri, dua bulan, ibu Ahmad Shafiq, Nora Mohd Husin, 55, serta adiknya, Ahmad Fahim, 21, selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, pagi tadi.
Kesemua jenazah dibawa menaiki empat van jenazah yang bergerak keluar dari HSB kira-kira jam 7 pagi sebelum diiringi kenderaan polis melalui Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke Masjid Al Abidi, Simpang Tiga Pasir, Merbok.
Suasana pilu menyelubungi pekarangan masjid apabila ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada mangsa sebelum urusan pengebumian dijalankan.
Kelima-lima mangsa dijangka dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran kira-kira jam 11 pagi.
Terdahulu, jenazah seorang lagi mangsa, Iskandar Affan Ibrahim, 7, yang turut terkorban dalam kemalangan itu, dibawa pulang ke kampung halamannya di Penaga, Pulau Pinang selepas proses bedah siasat selesai malam tadi.
Media sebelum ini melaporkan enam individu maut manakala seorang lagi cedera parah selepas SUV Proton X50 yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungi Petani, kira-kira jam 5.30 petang semalam.
Dalam kejadian itu, Ahmad Shafiq yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan dilaporkan memandu Proton X50 milik adiknya, Ahmad Fahim, yang baharu dibeli dan diambil beberapa jam sebelum kemalangan berlaku.
Difahamkan, mereka sekeluarga dalam perjalanan ke Merbok untuk menziarahi pusara bapa Ahmad Shafiq.
Susulan kejadian itu, pemandu lori berusia 49 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya.


