KEMENTERIAN Komunikasi berhasrat melahirkan sekurang-kurangnya seorang jurutera prompt di setiap Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara sebagai usaha memperkukuh literasi dan kemahiran kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan generasi muda.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif itu bukan sekadar memberi pendedahan kepada penggunaan teknologi AI, malah mampu membina keupayaan anak muda untuk membangunkan aplikasi baharu yang memberi impak langsung kepada komuniti setempat.
“Saya ingin meletakkan sebagai satu tangga harapan iaitu kita akan berusaha untuk melahirkan seorang jurutera prompt di setiap NADI di seluruh negara sama ada di Teluk Ramunia (Johor) atau Pulau Banggi (Sabah).
“Kita mahu ada jurutera prompt, anak muda yang fahami bukan hanya macam mana nak guna Gemini, Copilot, tapi semua perkakasan AI untuk bangunkan aplikasi baharu yang mampu bantu mereka di lapangan,” katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini, lapor Bernama.
Fahmi berkata inisiatif itu antara lain dapat melahirkan bakat tempatan yang celik teknologi, sekali gus membuka peluang pekerjaan baharu tanpa perlu berhijrah ke pusat bandar.
Sementara itu, beliau mahu Kementerian Komunikasi memperluaskan pelaksanaan program turun padang dengan kerjasama kementerian dan jabatan lain bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada perkhidmatan kerajaan.
Beliau berkata pelaksanaan program berkenaan akan dimulakan pada 12 hingga 14 Jun ini, bersempena dengan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2026, dengan penglibatan aktif agensi seperti Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan (JAPEN).
“Saya minta supaya pihak RTM dan JAPEN menggerakkan program-program di lapangan. Program siaran terutama pada Sabtu dan Ahad serta rancangan siaran langsung perlu diusahakan di pelbagai tempat,” katanya.
Fahmi berkata pelbagai inisiatif di bawah Kementerian Komunikasi seperti Wayang Pacak, Kenduri Rakyat dan Kempen Internet Selamat perlu digerakkan secara lebih meluas dengan sokongan kementerian lain.
Beliau berkata pendekatan bersepadu itu akan membolehkan rakyat menikmati pelbagai perkhidmatan, aktiviti dan program kerajaan menerusi satu platform yang lebih dekat dengan komuniti.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan supaya perancangan dan penyusunan program diselesaikan dalam tempoh terdekat bagi membolehkan pelaksanaannya bermula pada hujung minggu ini.


