SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencatatkan prestasi operasi membanggakan apabila merekodkan sejumlah 1,095 pertuduhan dengan 563 sabitan hasil daripada 2,633 kertas siasatan dari 2024 hingga kini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 583 kertas siasatan membabitkan kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam, sekali gus membuktikan komitmen SPRM untuk bertindak tegas tanpa mengira pangkat serta kedudukan.
Menurut beliau, fokus SPRM ketika ini bukan sekadar mengheret pelaku ke mahkamah, malah juga memberi penekanan kepada usaha melumpuhkan ekosistem jenayah melalui tindakan pemulihan aset yang agresif.
“Berdasarkan Rekod Bahagian Perundangan dan Pendakwaan sehingga April 2026, sebanyak 115 permohonan pelucuthakan harta di mahkamah telah dibuat berbanding 179 permohonan bagi keseluruhan tahun lalu.
“Hasilnya sehingga tempoh itu, SPRM berjaya membuat sitaan sebanyak RM16,494,763.56, pembekuan aset RM425,464.60 dan jumlah pelucuthakan harta RM3,423,131 manakala kompaun berjumlah RM10.47 juta telah dikutip,” katanya ketika menyampaikan amanat sulung pada Majlis Perhimpunan Bulanan SPRM Bil. 3 Tahun 2026, di Putrajaya hari ini.
Abd Halim menegaskan, beliau tidak akan membiarkan hak rakyat terus dikikis dan dilarikan sewenang-wenangnya oleh mereka yang `bernafsu serakah”.
Dalam pada itu, beliau berkata, SPRM sedang memperkasakan keupayaan pegawainya bagi mendepani jenayah kewangan moden yang semakin kompleks dan sofistikated selain modus operandi jenayah rasuah kini membabitkan penggunaan teknologi terkini, transaksi rentas sempadan serta penggunaan mata wang kripto.
“Kita tidak boleh lagi bekerja mengikut cara lama. Penggunaan teknologi terkini, pemerkasaan risikan strategik, analisis data serta kerjasama dengan agensi antarabangsa menjadi keperluan mendesak untuk memastikan kita sentiasa selangkah di hadapan penjenayah,” katanya.
Abd Halim yang hampir sebulan menerajui SPRM turut memperkenalkan lima prinsip utama kepimpinannya, iaitu integriti tanpa kompromi, penguatkuasaan adil, pencegahan lebih baik daripada hukuman, teknologi dan ketelusan serta membina kepercayaan rakyat.
“Prinsip peribadi saya mudah, iaitu berani buat, berani tanggung. Jangan ada sesiapa dalam organisasi ini menjadi kerbau membawa lumpur yang boleh mencalarkan imej SPRM yang kini pada tahap terbaik,” katanya.


