BAHAGIAN Penyiasatan Tata Kelola (BPT) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membentangkan tiga cadangan penambahbaikan tata kelola untuk dilaksanakan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berhubung amalan, sistem dan tata cara kerja pengurusan kenderaan perdagangan.
Menurut suruhanjaya itu, cadangan tersebut adalah APAD perlu mengeluarkan arahan mandatori yang mewajibkan syarikat pengendali kenderaan perdagangan membuat semakan rekod lesen GDL dan PSV pemandu melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai prasyarat pengambilan pemandu.
Cadangan kedua membabitkan pembangunan sistem pangkalan data pemandu bersepadu melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan bagi merekod serta menjejak sejarah lesen GDL dan PSV pemandu, termasuk jenis kesalahan, status penggantungan dan kelayakan, bagi tujuan tapisan pengambilan kerja, pemantauan dan penguatkuasaan.
Cadangan ketiga pula adalah mewujudkan aplikasi pengisytiharan kendiri self-declaration oleh pemandu kenderaan perdagangan sebelum dan selepas pemanduan yang menekankan konsep fit to work, pengurusan risiko sebelum tugas serta pengesahan pematuhan keselamatan secara digital.
Kesemua syor itu dibentangkan oleh Ketua Cawangan D BPT SPRM, Nik Nor Azleen Mohammed dalam sesi pembentangan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Perdana ibu pejabat APAD di Kuala Lumpur kelmarin.
Sementara itu, Ketua Pengarah APAD, Ahmad Radhi Maarof menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh SPRM dan menyatakan komitmen untuk meneliti syor-syor yang dibentangkan bagi memperkukuh aspek keselamatan serta tadbir urus pengurusan kenderaan perdagangan.
Komitmen tersebut turut dizahirkan melalui Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tata Kelola yang disempurnakan oleh Ahmad Radhi dan disaksikan oleh Timbalan Pengarah II BPT SPRM, Ahmad Shukri Mohamad Taib.
Cadangan penambahbaikan itu adalah berdasarkan susulan beberapa insiden kemalangan maut melibatkan kenderaan berat seperti lori dan bas yang telah mencetuskan kebimbangan masyarakat serta menjadi isu nasional.
Kajian tersebut bertujuan mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam amalan, sistem dan tata cara kerja sedia ada bagi memperkukuh aspek keselamatan serta keberkesanan pelaksanaan fungsi kawal selia oleh APAD.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan SPRM dalam memperkasakan tadbir urus sektor awam melalui pendekatan pencegahan dan penambahbaikan tata kelola bagi meningkatkan integriti, kecekapan penyampaian perkhidmatan serta keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan.


