TINDAKAN Bersatu yang menentang kemasukan parti-parti Melayu ke dalam Perikatan Nasional menjadi salah satu faktor hubungan politik antara Bersatu dan Pas berakhir malam tadi.
Ia terbukti apabila Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari melalui Facebook beliau menegaskan, perkara paling utama bagi parti itu ialah penyatuan ummah.
‘Apabila Bersatu di dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional mengambil sikap menentang kemasukan parti-parti seperti Berjasa, Pejuang, Iman dan Putra walaupun kertas cadangan sudah disiapkan, tindakan tersebut jelas merosakkan gagasan penyatuan yang dihasratkan selama ini,’’ tegasnya.
Katanya, ia ditambah pula dengan kronologi sikap Bersatu di Perlis dan Negeri Sembilan, keadaan itu telah menjejaskan moral jentera Pas untuk terus bekerja bersama Bersatu dalam pilihan raya akan datang.
‘’Kedudukan Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional akan diuruskan mengikut peruntukan perlembagaan dan saluran yang sewajarnya. Sudah tentu Pas dan Bersatu tidak boleh terus berada di bawah payung yang sama berikutan keputusan yang dibuat semalam,’’ katanya mengulas keputusan Pas memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Dr Afif Bahardin berkata, mendesak kepengerusian Perikatan Nasional (PN) dikembalikan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
dalam reaksi susulan keputusan PAS menghentikan kerjasama dengan Bersatu disifatkan ‘lembaran baharu dalam perjalanan PN’.
Beliau turut menyifatkan presidennya mempunyai kredibiliti membawa agenda penyatuan Melayu yang inklusif.
“PN tidak memerlukan retorik membakar emosi. PN memerlukan seorang pemimpin mampu menyatukan, menenangkan keadaan, dan membina semula kekuatan gabungan berpaksikan prinsip serta matlamat lebih besar daripada kepentingan mana-mana parti.
“Muhyiddin bukan sekadar seorang pengasas (PN). Dalam suasana politik yang sering dipenuhi persaingan ego dan perebutan pengaruh, beliau memilih pendekatan sederhana, inklusif, dan berteraskan musyawarah,” katanya dalam catatan di Facebook.
Untuk rekod, Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN pada 30 Disember lalu secara sukarela dan jawatan kemudiannya disandang oleh Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Bagaimanapun Bersatu terus mencalonkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri daripada parti itu.






