MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ’reformasi subsidi yang dilaksanakan sebelum ini menyediakan ruang fiskal yang mencukupi untuk kerajaan bertindak balas terhadap kejutan luaran dan ketidaktentuan ekonomi global,’
Katanya, perbelanjaan subsidi bahan api hanya sekitar RM700 juta sebulan pada Januari dan Februari sebelum meningkat kepada RM5 bilion pada Mac dan mencecah RM7.5 bilion pada April.
Bagaimanapun katanya dengan harga minyak yang semakin sederhana, jumlah subsidi kini dianggarkan sekitar RM3.5 bilion hingga RM4 bilion.
‘Beliau berkata demikian pada sesi bual bicara sempena persidangan Invest Malaysia 2026, di Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut Amir Hamzah berkata, reformasi subsidi yang dilaksanakan kerajaan sejak dua tahun setengah lalu berjaya menjana penjimatan melebihi RM16 bilion setahun, sekali gus memperkukuh kedudukan fiskal negara dan membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan kepada golongan rentan.
Beliau berkata, kejayaan melaksanakan beberapa keputusan sukar termasuk penyasaran subsidi diesel dan penstrukturan semula tarif elektrik turut meningkatkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan kerajaan melaksanakan reformasi ekonomi secara berkesan.
“Penjimatan lebih RM16 bilion setahun yang diperoleh bukan sahaja membantu memperbaiki kedudukan fiskal negara, malah membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan kepada kumpulan rentan dalam masyarakat,” katanya Amir Hamzah.
Katanya, kejayaan reformasi itu turut membuktikan kerajaan mampu membuat keputusan sukar secara terancang tanpa menjejaskan kesejahteraan majoriti rakyat.
Beliau berkata antara langkah yang dilaksanakan termasuk penstrukturan semula tarif elektrik dengan memastikan kira-kira 85 peratus pengguna terus dilindungi daripada kesan kenaikan kos.
Selain itu, kata Amir Hamzah kerajaan turut memperkenalkan mekanisme subsidi diesel bersasar sebelum memperluaskannya kepada subsidi petrol menggunakan kad pengenalan sebagai asas pelaksanaan.
Amier Hamzah berkata, langkah itu membolehkan kerajaan terus menyokong pertumbuhan ekonomi, memastikan perniagaan kekal beroperasi, mengekalkan peluang pekerjaan, melindungi rakyat daripada kesan inflasi serta menguruskan kedudukan fiskal negara secara berhemat.
“Kerajaan yakin mampu mengharungi cabaran semasa melalui pendekatan yang seimbang dan berdisiplin,” katanya sambil menjelaskan kerajaan menyasarkan defisit fiskal sebanyak 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026,’’ katanya.






