MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMK) didakwa menarik balik surat persembahan maklum kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bertarikh 17 September lalu berhubung status Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Perkara itu terkandung dalam surat bertarikh 10 November yang tersebar dan dipercayai ditandatangani Ismail bersama 10 Exco berkenaan.
Menerusi surat itu, Ismail memaklumkan keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira kenyataan media Raja-Raja Melayu bertarikh 14 Oktober lalu serta Perintah Mahkamah Tinggi Seremban pada 5 Jun lalu.
Menurutnya, perintah mahkamah berkenaan mengekalkan status quo kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
“Keputusan ini dibuat demi menjunjung keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) dan memelihara tertib pemerintahan beraja serta memastikan kelangsungan pentadbiran negeri berjalan dalam suasana aman dan teratur,” katanya dalam surat berkenaan, lapor Sinar Harian.
Dalam surat sama, Ismail bersama 10 Exco berkenaan turut menegaskan komitmen untuk sentiasa menjunjung adat serta menghormati kedudukan dan kewibawaan institusi diraja dalam sistem pemerintahan Negeri Sembilan.
Mereka turut mengambil maklum seruan Raja-Raja Melayu supaya segala perbezaan diselesaikan menerusi saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa secara beradab serta beradat.
“Kami berpandangan bahawa usaha ke arah penyelesaian hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, demi mengekalkan keharmonian dan kestabilan Negeri Sembilan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Surat berkenaan turut ditandatangani 10 Exco iaitu Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.
Bagaimanapun, pengesahan rasmi berhubung kesahihan surat dan tindakan menarik balik persembahan maklum berkenaan belum diperoleh.





