Lelaki ditahan rakam, provokasi polis ketika disaman

SEORANG lelaki ditahan polis kerana bertindak agresif dengan merakam serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis ketika dikenakan tindakan saman trafik oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di ibu negara semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.24 pagi itu, anggota polis URB yang sedang melakukan rondaan dan penguatkuasaan trafik mengeluarkan saman kepada sebuah kereta Proton Preve kerana melakukan kesalahan lalu lintas.

Menurutnya, semasa pemeriksaan dijalankan, seorang lelaki tempatan menghampiri anggota polis, merakam video menggunakan telefon dan bertindak kasar dengan mengeluarkan kata-kata kesat serta membuat provokasi kerana tidak berpuas hati dengan saman yang dikenakan.

“Susulan laporan polis diterima, sepasukan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menahan seorang lelaki berusia 25 tahun kira-kira jam 2.36 pagi di sebuah premis perniagaan di Jalan Dato Senu, Sentul.

“Ketika ditahan, turut dirampas adalah sebuah telefon bimbit jenama Infinix bersama kad SIM yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes yang disiasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku merakam video anggota polis yang bertugas kerana tidak berpuas hati dengan tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadapnya.

Katanya, kes ini turut dikesan ditularkan di beberapa platform media sosial.

Basri berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

“Permohonan tahanan reman ke atas suspek dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini sehingga Khamis ini bagi tujuan siasatan lanjut.

“Hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek adalah negatif,” katanya.

Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mengganggu siasatan polis.

Katanya, sebarang bentuk penghinaan, ugutan atau gangguan terhadap penjawat awam ketika menjalankan tugas adalah satu kesalahan undang-undang dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah, boleh menyalurkan maklumat atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran,” katanya.

Terdahulu, satu video tular di media sosial memaparkan kejadian seorang lelaki yang disyaki merakam serta bertindak provokatif terhadap anggota polis ketika tindakan saman dijalankan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img