PEMASYHURAN Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 Jumaat lalu tidak sah dan tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan, Undang-Undang dan adat istiadat Negeri Sembilan.
Sehubungan itu Pengelola Bijaya Diraja Datuk Azizi Mohamad Ali berkata,. gelaran yang dikatakan cuba diambil Tunku Nadzaruddin tidak berkuat kuasa.
“Dengan cuba menerima gelaran yang tidak sah itu, Tunku Nadzaruddin dengan sendirinya telah melepaskan gelaran pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang sebelum ini disandangnya.
“Sehubungan itu, tiada lagi penyandang gelaran pusaka Tunku Panglima Besar,” katanya dalam kenyataan.
Pada 5 Jun lalu, Tunku Nadzaruddin dilaporkan dimasyhurkan sebagai Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 oleh Undang Yang Empat dalam majlis di sebuah resort di Melaka.
Pemasyhuran itu diisytiharkan oleh Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian berkata, Kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.






