SEORANG buruh ditahan bersama lebih satu kilogram dadah jenis ekstasi bernilai RM110,000 dalam serbuan di Simpang Renggam, awal pagi semalam.
Suspek berusia 35 tahun yang mempunyai lapan rekod jenayah dan dadah lampau itu ditahan dalam serbuan di tepi Jalan Pasar Simpang Renggam kira-kira jam 12.15 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pemeriksaan ke atas suspek menemukan 13 paket berisi dadah jenis ekstasi dengan anggaran berat keseluruhan 1.12 kilogram.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.
“Susulan itu, polis menahan suspek untuk siasatan lanjut dan dia kini direman selama tujuh hari sehingga Isnin ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Bahrin, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah berkenaan termasuk sama ada bahan terlarang itu dipasarkan di sekitar kawasan pasar terbabit.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784222 atau hotline 07-7766822 bagi membantu siasatan.






