SEORANG remaja lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda yang dipandu lelaki di bawah pengaruh dadah di Jalan Bukit Payong, Hulu Besut, tengah hari semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 16 tahun dari Kampung Bukit Payong disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md Sani Md Saleh berkata, hasil saringan awal air kencing mendapati pemandu pacuan empat roda terbabit positif dadah jenis ketamin.
“Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa berada di laluannya sebelum sebuah pacuan empat roda dari arah bertentangan dipandu dalam keadaan terhuyung-hayang.
“Mangsa cuba mengelak daripada bertembung dengan memasuki laluan bertentangan.
“Bagaimanapun, kenderaan pacuan empat roda itu masuk semula ke laluan asalnya lalu menyebabkan kedua-dua kenderaan bertembung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk dibedah siasat manakala suspek dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Besut untuk tindakan lanjut.
Katanya, pemandu pacuan empat roda itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kes kemalangan pula disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Noraini Muhammad Zin di talian 013-4384239 bagi membantu siasatan lanjut.


