TINDAKAN dua lelaki berpura-pura menjadi pelanggan sebelum melarikan kotak wang dan telefon bimbit milik peniaga nasi bajet membawa padah apabila mereka diberkas polis dalam serbuan di Teluk Intan, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, dua beradik berusia 24 dan 36 tahun itu ditahan susulan siasatan berhubung kejadian yang tular di media sosial baru-baru ini.
Beliau berkata, kejadian berlaku pada tengah hari 21 Mei lalu ketika mangsa sedang mengendalikan gerai nasi bajet di Jalan Lebuh Meru Raya.
Menurutnya, mangsa didatangi dua lelaki yang menaiki motosikal dan berpura-pura mahu membeli makanan.
“Ketika mangsa sedang sibuk membungkus nasi lemak, salah seorang suspek mengambil kotak wang yang mengandungi wang tunai dan sebuah telefon bimbit sebelum kedua-duanya melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhammad Najib berkata, hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kejadian berkenaan.
“Siasatan juga mendapati mereka mempunyai kaitan dengan beberapa kes jenayah lain di daerah ini,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Muhammad Najib turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada penahanan kedua-dua suspek.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan memastikan wang serta barang berharga disimpan di tempat yang selamat bagi mengelakkan menjadi mangsa jenayah.
Sebelum ini, media melaporkan seorang peniaga nasi bajet berusia 21 tahun mengalami kerugian kira-kira RM2,000 selepas kotak wang mengandungi wang tunai dan sebuah iPhone 13 miliknya dilarikan dua lelaki yang berpura-pura menjadi pelanggan di gerainya di Lebuh Meru Raya.






