SEORANG lelaki ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 26 sebuah kondominium di Penampang petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang, lelaki tempatan berusia 34 tahun itu ditemukan berhampiran lobi kondominium tersebut.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, siasatan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama Pasukan Forensik D10 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah.
“Hasil siasatan mendapati lelaki terbabit dipercayai terjatuh dari unit kediaman di tingkat 26 bangunan kondominium tersebut.
“Pemeriksaan di lokasi juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan dengan kejadian ini,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau, mayat lelaki itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.
“Bedah siasat tersebut bagi menentukan punca sebenar kematian mangsa. Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut,” katanya.
Newton dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
“Orang ramai juga diminta supaya menghentikan penyebaran gambar atau video kejadian bagi menghormati serta menjaga sensitiviti waris keluarga.
“Sebarang maklumat mengenai kejadian ini boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat kes, Sarjan Mejar Patrick Duffy Francis di talian 013-838 5335 atau menghubungi IPD Penampang di talian 088-71 2222,” katanya.






