Polis siasat kes murid 12 tahun hampir lumpuh didakwa akibat buli

POLIS mengesahkan menerima laporan berhubung kes seorang murid perempuan berusia 12 tahun yang dipercayai menjadi mangsa buli sehingga mengalami masalah kesihatan serius, termasuk hampir lumpuh dan tidak bersekolah sejak empat bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Polis telah membuka kertas siasatan (IP) dan ia sudah dilengkapkan serta dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan lanjut,” katanya, lapor Harian Metro.

Difahamkan, kanak-kanak perempuan yang juga murid cemerlang itu sebelum ini bercita-cita melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh, namun hasratnya mungkin tidak kesampaian berikutan keadaan kesihatannya yang semakin merosot.

Mangsa yang mesra disapa ‘kakak’ kini dilaporkan mengalami gangguan pada otot dalaman badan serta disahkan berhadapan Gangguan Stres Pascatrauma (PTSD) yang didakwa berpunca daripada perbuatan buli rakan sekolah.

Ibu mangsa, Norasikin Hasin, 32, mendakwa, anaknya yang tinggal di asrama sebuah sekolah rendah di Padang Besar dipercayai menjadi mangsa buli fizikal dan mental sehingga terpaksa menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Menurutnya, masalah kesihatan anaknya mula disedari pada Februari lalu apabila mangsa mengadu sakit belakang serta menunjukkan perubahan sikap ketika pulang bercuti di rumah.

“Saya sangka anak hanya sakit biasa, namun mula berasa pelik kerana dia lebih banyak berbaring.

“Selama tiga hari dia tidur bermula jam 2 petang hingga 1 pagi keesokannya. Saya kejutkan untuk mandi dan makan tetapi dia menolak.

“Keadaan itu berlarutan sehingga beberapa hari. Kemudian baru saya perasan terdapathampir lumpuh lebam pada tubuhnya dan dia juga seperti menahan sakit di bahagian belakang badan,” katanya ketika ditemui media semalam.

Norasikin berkata, selepas diperiksa, anaknya akhirnya mendedahkan dia sering dibuli oleh tiga rakan sekelas yang turut memaksanya menyiapkan kerja sekolah mereka.

Katanya, tiga murid berkenaan juga didakwa memulaukan mangsa serta menghasut rakan lain supaya tidak berkawan dengannya.

“Kakak kemudiannya beritahu kemuncak kejadian buli apabila seorang pelaku bertindak menarik kerusi ketika dia mahu duduk di dalam kelas.

“Doktor yang melakukan ujian imbasan sinar-X di hospital mendapati tulang belakang kakak sedikit lari (bengkok) daripada kedudukan asal.

“Pada 22 Februari hingga awal Mac lalu, anak saya terpaksa ditahan di wad kerana disahkan menghidap PTSD oleh pakar psikiatri dan mengalami masalah pada otot dalaman badannya oleh pakar neurologi,” katanya.

Norasikin berkata, kesan trauma itu turut mengubah perwatakan anaknya daripada seorang yang ceria kepada pendiam, sering meracau, mengalami halusinasi serta bergantung kepada ubat penenang dan penahan sakit setiap hari.

“Walaupun dia di rumah bersama kami, ada ketikanya dia akan menjerit dan membaling barang seolah-olah berhalusinasi melihat pembulinya.

“Ketika di hospital, jururawat hendak periksa tekanan darah pun dia baling bantal sebab terbayang muka kawan yang membulinya.

“Sekarang untuk berjalan pun dia perlu dipimpin kerana berasa seperti di awangan,” katanya.

Berikutan kejadian itu, keluarga mangsa membuat laporan polis pada 25 Februari lalu, namun mendakwa sehingga kini belum menerima sebarang perkembangan.

Mereka juga berkata aduan yang dipanjangkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masih menunggu hasil siasatan polis.

Bapa mangsa, Muhamad Abdul Hadi berkata, pendapatan bulanannya sekitar RM1,300 kini turut terjejas kerana terpaksa menanggung kos perubatan, petrol untuk ke hospital serta pembelian alat sokongan badan yang mencecah ribuan ringgit.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img