POLIS menahan seorang lelaki 22 burung murai batu disyaki dipelihara tanpa lesen bernilai lebih setengah juta, selepas menyerbu sebuah pusat perindustrian di Penampang, Sabah, hari ini.
Komander Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, serbuan dibuat jam 2.15 petang bersama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.
“Dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun ditahan dan merampas beberapa burung spesies dilindungi.
“Rampasan melibatkan 22 ekor burung murai batu hidup, 21 sangkar burung dan dua unit jebak burung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Zaki, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku membeli burung berkenaan daripada kenalan di sekitar Tawau dan Lawas.
“Suspek juga mengaku tidak mempunyai sebarang lesen atau permit penyimpanan daripada pihak berkuasa. Dia mendakwa memelihara kesemua burung terbabit hanya sekadar hobi,” katanya sambil memberitahu, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM555,000.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memiliki atau menjual hidupan liar dilindungi.
“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang sebelum diserahkan kepada JHL Sabah untuk tindakan lanjut,
“Operasi dijalankan berjaya mengekang aktiviti penyimpanan dan pemeliharaan hidupan liar dilindungi tanpa lesen atau permit sah di sekitar Penampang,” katanya.
Burung murai batu adalah spesies hidupan liar yang dilindungi di Semenanjung Malaysia mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Orang ramai tidak dibenarkan menyimpan, memelihara, atau menjual murai batu tanpa lesen sah daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Burung murai batu merupakan spesies bernilai tinggi dalam pasaran peminat dan pertandingan burung hingga ada yang dijual pada harga puluhan ribu ringgit seekor.


