BEKAS Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol hari ini dijatuhi hukuman penjara 30 tahun atas tindakan menghantar dron ke Korea Utara, dengan pihak pendakwa raya berhujah langkah itu bertujuan untuk mencipta alasan bagi Suk Yeol mengisytiharkan undang-undang tentera yang membawa padah pada 2024.
Pendakwa raya berkata, usaha Suk Yeol untuk ‘mereka-reka keadaan perang’ menerusi penggunaan dron itu menjejaskan keselamatan negara.
Hukuman itu menyusul selepas Suk Yeol dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Februari lalu kerana mengetuai pemberontakan bagi ‘melumpuhkan’ Perhimpunan Kebangsaan Korea Selatan menerusi pengisytiharan undang-undang tentera.
Jurucakap Mahkamah Daerah Pusat Seoul memberitahu AFP, Suk Yeol dijatuhi hukuman penjara 30 tahun atas pertuduhan berkenaan, tanpa memberikan butiran lanjut.
Menurut laporan agensi berita Yonhap, pihak pendakwaan turut berhujah operasi itu meningkatkan ketegangan dengan Korea Utara serta menyebabkan kebocoran maklumat sulit, termasuk butiran mengenai keupayaan ketenteraan, selepas dron terbabit terhempas.
Suk Yeol mengemukakan rayuan terhadap sabitan itu dengan menegaskan bahawa beliau mengisytiharkan undang-undang tentera ‘semata-mata demi kepentingan negara’.
Pasukan peguam Suk Yeol menafikan pertuduhan berkaitan dron itu dan menyatakan tiada ‘arahan awal atau kelulusan susulan’ diberikan bagi operasi dron yang dirujuk pihak pendakwaan.
Mereka berkata, operasi itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap tindakan Korea Utara menghantar belon berisi sampah merentasi sempadan pada tahun berkenaan dan adalah ‘tindakan mempertahankan diri yang sah’ yang tidak mempunyai kaitan dengan pengisytiharan undang-undang tentera oleh Suk Yeol.
Peguam beliau turut menyifatkan dakwaan pihak pendakwaan sebagai ‘cerita rekaan yang bersifat spekulatif dan tidak benar’.
Penerbangan dron terus menjadi antara isu sensitif yang mencetuskan ketegangan antara kedua negara yang secara teknikalnya masih berada dalam keadaan perang.
Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung sebelum ini menyatakan kekesalan selepas siasatan mendapati pegawai kerajaan menghantar dron ke Korea Utara yang memiliki senjata nuklear pada Januari.
Bagaimanapun, harapan untuk hubungan yang lebih baik antara kedua negara semakin pudar selepas negara yang terasing dari segi diplomatik itu kembali menyifatkan Korea Selatan sebagai ‘musuh ketat’.






