POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan rasuah membabitkan seorang ketua balai di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Daerah (IPD) Wangsa Maju.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada berlaku kesalahan seperti didakwa atau pun ianya cuma tohmahan semata-mata.
“Pihak polis sudah mengambil tindakan, OCPD (Ketua Polis Daerah) sendiri bersama Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard diarahkan membuat siasatan. Buat masa ini siasatan masih dijalankan.
“Siasatan dijalankan bagi memastikan sama ada benda itu betul-betul berlaku, ada fakta atau sebaliknya kita akan siasat. Pegawai terbabit juga sudah dirakam keterangan dan dia masih bertugas.
“Melainkan kita dapati dia bersalah dan kita akan ambil tindakan,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Advokasi Kesedaran Lalu Lintas bersama Polis Kuala Lumpur di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alam Damai di Cheras hari ini.
Terdahulu satu tangkap layar tular dalam media sosial mendakwa pegawai berpangkat Inspektor memaksa anggota bawahannya untuk mengutip ‘ufti’ daripada kedai judi dan rumah urut di sekitar Wangsa Maju.
Hantaran itu turut menuduh pegawai terbabit mengarahkan anggotanya memeras ugut warga asing selain dituduh membawa gadis pelayan ke balai terbabit.






