Pemimpin agama perlu dekati belia tangani ekstremisme digital – Sultan Nazrin

PEMIMPIN agama perlu memainkan peranan lebih aktif mendekati golongan muda bagi menangani ancaman ekstremisme, maklumat palsu dan polarisasi yang semakin berleluasa dalam era digital.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, golongan belia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk kebimbangan perubahan iklim, konflik, ketidaktentuan ekonomi, polarisasi digital serta kemerosotan kepercayaan terhadap institusi masyarakat.

“Maklumat salah janaan teknologi kecerdasan buatan (AI), yang berselindung di sebalik naratif rasa tidak puas hati, kini menjangkau ratusan juta golongan muda pada skala dan kepantasan yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana khutbah sebelum ini.

“Hujah untuk memecahbelahkan sedang dimenangi oleh suara-suara yang tidak kita kawali, di platform-platform yang tidak kita miliki, dalam bahasa yang terlalu lambat kita pelajari,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Kali Ke-3 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Menurut Sultan Nazrin, terdapat hampir 1.8 bilion golongan muda di seluruh dunia dan mereka tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai pewaris masa depan, sebaliknya sebagai rakan kongsi dalam membentuk masyarakat masa kini.

“Anak muda meminta untuk dilayan sebagai pencipta bersama, bukan sebagai perunding.

“Beta menegaskan kepada perhimpunan ini bahawa para pemimpin agama berada dalam kedudukan yang unik untuk merapatkan jurang tersebut,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut mengingatkan bahawa golongan ekstremis dan pemimpin agama sebenarnya bersaing untuk mempengaruhi kelompok muda menggunakan bahasa dan nilai keagamaan yang sama.

Jelas baginda, jika institusi agama gagal menyesuaikan pendekatan dengan realiti semasa, mereka akan terus kehilangan pengaruh kepada pihak yang mengeksploitasi platform digital untuk menyebarkan kebencian dan perpecahan.

Hubungan antara belia daripada pelbagai agama dan latar belakang perlu diperkukuh melalui aktiviti bersama yang membina persefahaman dan rasa saling menghormati.

Sultan Nazrin juga menyeru golongan muda supaya tidak membiarkan sesiapa meyakinkan mereka bahawa maruah agama sendiri hanya boleh dipertahankan dengan merendahkan maruah pihak lain.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img